Kesan perundangan Dokumen_pengenalan

Undang-undang biasanya menghadkan kuasa meminta pengenalan diri (contohnya polis dan pegawai imigresen), walaupun apa yang terjadi ialah banyak pihak lain sama ada petugas kerajaan atau persendirian turut meminta pengenalan diri, contohnya jurujual mungkin meminta pengenalan diri jika seseorang pelanggan ingin membayar menggunakan kad kredit ataupun cek.

Di negara-negara di mana kad pengenalan khas tiada/tidak diwajibkan, kegagalan menunjukkan pengenalan diri kepada pihak berkuasa apabila diminta mungkin menyebabkan pelaku dibawa ke balai polis untuk pengenalan lanjut walaupun tiada kesalahan dilakukan. Ini membawa kepada kesan di mana membawa kad pengenalan diri adalah kewajipan de facto (keadaan) walaupun bukan kewajipan de jure (undang-undang). Dalam kebanyakan kes, dokumen lain seperti lesen memandu dan pasport biasanya diterima.

Sesetengah orang mungkin tidak mahu membawa dokumen pengenalan diri supaya sukar dikesan, contohnya orang biasa yang tidak mengingini gangguan. Namun kadang-kadang ia mungkin membantu dalam perlakuan haram; contohnya, di sesetengah negara, prosedur untuk pendatang asing tanpa izin mungkin berbeza mengikut umur atau kerakyatannya. Tanpa dokumen pengenalan, pendatang tersebut mungkin mempunyai lebih masa untuk menyiapkan kesnya sementara pihak berkuasa cuba mengenal pasti identitinya.

Untuk negara-negara yang mewajibkan pembawaan kad pengenalan sepanjang masa, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pelakunya didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali. Di Malaysia kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum penjara di bawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. [1] , [2], [3] Menggunakan kad pengenalan orang lain juga merupakan satu kesalahan yang boleh dipenjarakan. [4]